|
Selasa, 16 Mac 2008
Tajuk : Serah Petisyen Kekerasan PAS
Oleh : Farezul Fadzal
Sumber : Unit Komunikasi Negeri

Dato' Seri Idris melihat kesan
lebam pada mangsa kekerasan
pilihan raya dipercayai dilakukan
penyokong pembangkang.
UMNO Terengganu kini dalam
proses mengumpul maklumat lengkap sebelum menyerahkan petisyen
kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kes kekerasan yang
berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-12, baru-baru ini.
“Maklumat sedang dikumpul, asas sudah ada dan kita akan masuk
petisyen dengan serta merta selepas keputusan pilihan raya
diwartakan oleh Suruhanraya Pilihan Raya (SPR),” Pengerusi
Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata demikian
selepas melawat mangsa kekerasan di rumahnya, Kampung Banggol Air
Lilih, Kuala Terengganu, kelmarin (16 Mac).
Dato’ Seri Idris berkata, pihak UMNO akan terus mencari dan melawat
mangsa kekerasan pada pilihanraya lalu bagi mendapatkan kepastian
serta mendapat gambaran yang sebenar.
Sementara itu, tiga pemuda telah dicederakan pada Pilihan Raya Umum
di Parlimen Kuala Nerus menceritakan kejadian tersebut kepada
Dato’Seri Idris.
Dua daripada mangsa kekerasan itu telah membuat laporan sejurus
selepas kejadian tersebut. Manakala seorang lagi mangsa, Encik Mohd
Arshad Mustaffa, 22, dari kampung Gong Badak belum membuat laporan
polis dan berazam akan membuat laporan polis sejurus selepas ini.
Mohd Arshad telah ditumbuk sehingga lebam mata, semasa menghantar
kawan untuk mengundi apabila dituduh membawa pengundi hantu.
Manakala,Encik Mohd Zulkifli Mohd Ghazali,23 dari Kampung Banggol
Air Lilih telah ditumbuk dan diterajang oleh penyokong Pas semasa
hendak keluar mengundi.
“Saya telah ditumbuk dan diterajang oleh penyokong Pas semasa hendak
keluar mengundi,”katanya.
Seorang lagi mangsa, Encik Mohd Idris Alias, 24 dari kampung yang
sama turut dicederakan dalam pilihanraya lalu.Sehingga kini, empat
kes kekerasan telah dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan.

Dua mangsa menunjukkan salinan laporan
polis berhubung kejadian meraka ditumbuk
dan diterajang oleh penyokong Pas
semasa hendak keluar mengundi.

Mangsa menceritakan rentetan bagaimana
mereka dihalang dan dianiaya
penyokong parti pembangkang di
rumahnya di Kampung Banggol Air Lilih.
|