Selasa, 16 Mac 2008

 

Tajuk : Mangsa Keganasan PAS Dapat Perhatian

Oleh : Suriati Ali

Sumber : Unit Komunikasi Negeri

 

Dato' Seri Idris melihat kesan kemek pada kereta seorang pengundi

ekoran tindakan liar pihak tidak bertanggungjawab.


Biarpun sudah seminggu Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 berlalu, mangsa keganasan Pas pada hari pembuangan undi yang juga pengundi di kawasan Parlimen Marang terus mendapat perhatian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dato’ Seri Idris berkata, pihaknya kesal dengan sikap penyokong Pas yang terlalu fanatik terhadap parti itu sehingga sanggup memukul dan mengancam nyawa orang awam yang keluar menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Katanya, mereka tidak wajar bertindak sedemikian kerana jelas menyalahi undang-undang. Tindakan mereka itu menyebabkan penduduk di beberapa tempat termasuk Medan Jaya takut untuk keluar mengundi.

“Saya difahamkan lebih 90 laporan diterima pihak berkuasa mengenai keganasan Pas yang berlaku pada 8 Mac lalu bertempat di Marang.

“Jumlah itu tidak termasuk individu yang takut untuk melaporkan kes masing-masing walaupun diri mereka di belasah teruk oleh penyokong Pas yang sememangnya tidak mempunyai sifat belas kasihan,” katanya kepada pemberita ketika melawat mangsa kejadian di Kampung Sungai Keruak, Marang, hari ini 16 Mac.

Mangsa yang hanya ingin di kenali sebagai Samad berkata, dia mengalami kerugian kira-kira RM 3,000 selepas cermin dan bahagian belakang kereta miliknya rosak teruk.

“Mereka bertindak kejam kerana mendakwa saya membawa pengundi hantu yang sebenar pada ketika itu membawa petugas Barisan Nasional (BN) yang ingin berulang alik di lokasi yang ditetapkan.

“Saya dibelasah dan cermin kereta dipecahkan tanpa belas kasihan walaupun merayu berulang kali sambil menyatakan individu yang menumpang kereta miliknya bukan mengundi hantu,” katanya.

Seorang lagi mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka kejadian seperti itu berlaku terhadap dirinya buat kali kedua yang menjadi mangsa pukul penyokong Pas ketika dalam perjalanan membuang undi.

“Selain dipukul penyokong fanatik parti itu turut merampas kad pengenalan (IC) sehingga menyukarkan kehidupannya sehingga ke hari ini” katanya.

 

Dua laporan polis sudah dibuat bagi membuktikan kezaliman pihak pembangkang.