|
Selasa, 11 Mac 2008
Tajuk : Lebih 90 kes kekerasan
dilaporkan
Oleh : Farezul Fadzal
Sumber : Unit Komunikasi Negeri

Dato' Seri Idris ketika menemui
pengundi yang didakwa dipukul
serta dihalang untuk membuang undi
pada Pilihan Raya Umum ke 12
lalu di Marang. -Foto SHUHAIMI AHMAD
Lebih 90 aduan mengenai
kekerasan dilaporkan membabitkan kejadian Sabtu lalu apabila lebih
1,000 penyokong parti pembangkang merusuh dan bertindak ganas selain
menahan kad pengenalan pengundi yang didakwa sebagai `pengundi hantu'.
Pengerusi Perhubungan Umno Negeri, Dato’ Seri Idris Jusoh berkata,
pihaknya sedang giat mengumpul maklumat mengenai kes kekerasan dan
keganasan di Rusila dan akan menghantar petisyen kepada Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
"Saya rasa SPR akan mengambil tindakan sewajarnya kerana keganasan
yang berlaku turut menyebabkan ramai pemilih tidak dapat keluar
mengundi kerana bimbang keselamatan mereka terancam.
"Kita juga akan menimbang untuk mengambil tindakan undang-undang
terhadap mereka," katanya sambil menambah kejadian keganasan yang
berlaku itu melampaui jangkaan dan tidak boleh dikawal.
Idris berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat
seorang daripada puluhan mangsa di rumahnya, Kampung Gong Batu,
Marang, semalam (11 Mac).
Mangsa, Nordarwina Ahmad Anuar, 25, bersama bapanya, Ahmad Anuar
Abdul Hanif, 62, yang ke pusat pembuangan undi di Sekolah Menengah
Kebangsaan (SMK) Marang secara tiba-tiba dikepung sekumpulan
kira-kira 40 lelaki dan wanita sehingga menyebabkan kecederaan di
tangan selain bapanya mengalami sakit dada.
|